PULAU PINANG, 11 MEI
2012: Tiga lagi tapak penyelidikan arkeologi hasil kajian Pusat Penyelidikan
Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) tersenarai sebagai
Warisan Kebangsaan di bawah kategori Warisan Ketara – Warisan Arkeologi.
Prof. Dato’ Omar
Osman, Naib Canselor USM berkata, pihak Universiti menyambut baik pemilihan ini
yang juga adalah pengiktirafan negara terhadap penyelidikan arkeologi yang
dijalankan oleh penyelidik-penyelidik USM.
Tiga tapak
penyelidikan ini ialah tapak arkeologi Sungai Batu di Sungai Petani, Kedah,
Bukit Bunuh di Lenggong, Perak dan Gua Batu Tambun yang juga di Perak.
“Pihak Universiti amat
berbangga dengan pengiktirafan ini dan perisytiharan ini pastinya akan memacu
kita untuk melakukan penyelidikan yang lebih mendalam dan meluas bukan sahaja
di tapak-tapak berkenaan, malah juga di seluruh negara yang pastinya penting
bagi pengekalan warisan tempatan dan sejarah dunia.
“Saya juga percaya, pengiktirafan
ini menjadi bukti bahawa penyelidik tempatan mampu melakukan kajian-kajian yang
berimpak tinggi dan pada masa yang sama membongkar pelbagai maklumat baru
berhubung ketamadunan lampau,” kata beliau dalam satu sidang media khas hari
ni.
Kesemua tapak-tapak
hasil kajian USM ini diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim semalam di majlis Perisytiharan
Warisan Kebangsaan 2012 di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada 10
Mei 2012.
Prof. Mokhtar Saidin,
Pengarah PPAG USM dalam sidang media yang sama berkata sejak tahun 2007
sehingga kini, sebanyak 8 data penyelidikan disenaraikan sebagai Warisan Ketara
– Warisan Arkeologi dan kesemuanya adalah berdasarkan kepada hasil kajian
penyelidik-penyelidik PPAG USM.
“Ini bermula dengan
Perak Man pada tahun 2007 dan pada 2009 pula melibatkan tapak Bukit Jawa,
Kota Tampan, Gua Gunung Runtuh, serta Alat Batu dalam Suevit – Bukit Bunuh yang
kesemuanya di Lenggong, Perak.
“Kini tiga lagi tapak
tersenarai dan menyambut baik perisytiharan tersebut yang dibuat oleh pihak
Kerajaan menerusi Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan,” kata beliau.
Tambah beliau lagi,
tapak arkeologi Sungai Batu adalah penting kerana ia merupakan tapak tamadun
terawal Asia tenggara yang pernah direkodkan manakala tapak Bukit Bunuh pula
mendedahkan bukti-bukti manusia awal sekitar 1.83 juta tahun dahulu.
Tapak Gua Tambun pula
menurut beliau adalah satu-satunya tapak dengan bukti lukisan hematit berusia sekitar
5,000 tahun dahulu yang ditemui wujud di Semenanjung Malaysia. Ia menceritakan
tentang kehidupan dan kemajuan penduduk awal serta pelbagai maklumat lain yang
akan memberikan gambaran jelas tentang aspek sosiobudaya masyarakat terdahulu.
“Penyenaraian ini
adalah pengiktirafan juga kepada penyelidikan arkelogi di PPAG USM sejak 25
tahun lalu dan akan membolehkan usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan
tapak-tapak berkenaan di buat dengan lebih baik,” tegas beliau.
semoga PPAG terus berjaya
ReplyDelete