Friday 13 July 2012

TIGA LAGI TAPAK ARKEOLOGI USM DIPILIH TAPAK WARISAN KEBANGSAAN



PULAU PINANG, 11 MEI 2012: Tiga lagi tapak penyelidikan arkeologi hasil kajian Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan di bawah kategori Warisan Ketara – Warisan Arkeologi.
Prof. Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM berkata, pihak Universiti menyambut baik pemilihan ini yang juga adalah pengiktirafan negara terhadap penyelidikan arkeologi yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik USM.
Tiga tapak penyelidikan ini ialah tapak arkeologi Sungai Batu di Sungai Petani, Kedah, Bukit Bunuh di Lenggong, Perak dan Gua Batu Tambun yang juga di Perak.
“Pihak Universiti amat berbangga dengan pengiktirafan ini dan perisytiharan ini pastinya akan memacu kita untuk melakukan penyelidikan yang lebih mendalam dan meluas bukan sahaja di tapak-tapak berkenaan, malah juga di seluruh negara yang pastinya penting bagi pengekalan warisan tempatan dan sejarah dunia.
“Saya juga percaya, pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa penyelidik tempatan mampu melakukan kajian-kajian yang berimpak tinggi dan pada masa yang sama membongkar pelbagai maklumat baru berhubung ketamadunan lampau,” kata beliau dalam satu sidang media khas hari ni.
Kesemua tapak-tapak hasil kajian USM ini diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim semalam di majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan 2012 di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada 10 Mei 2012.
Prof. Mokhtar Saidin, Pengarah PPAG USM dalam sidang media yang sama berkata sejak tahun 2007 sehingga kini, sebanyak 8 data penyelidikan disenaraikan sebagai Warisan Ketara – Warisan Arkeologi dan kesemuanya adalah berdasarkan kepada hasil kajian penyelidik-penyelidik PPAG USM.
“Ini bermula dengan Perak Man pada tahun 2007  dan pada 2009 pula melibatkan tapak Bukit Jawa, Kota Tampan, Gua Gunung Runtuh, serta Alat Batu dalam Suevit – Bukit Bunuh yang kesemuanya di Lenggong, Perak.
“Kini tiga lagi tapak tersenarai dan menyambut baik perisytiharan tersebut yang dibuat oleh pihak Kerajaan menerusi Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, tapak arkeologi Sungai Batu adalah penting kerana ia merupakan tapak tamadun terawal Asia tenggara yang pernah direkodkan manakala tapak Bukit Bunuh pula mendedahkan bukti-bukti manusia awal sekitar 1.83 juta tahun dahulu.
Tapak Gua Tambun pula menurut beliau adalah satu-satunya tapak dengan bukti lukisan hematit berusia sekitar 5,000 tahun dahulu yang ditemui wujud di Semenanjung Malaysia. Ia menceritakan tentang kehidupan dan kemajuan penduduk awal serta pelbagai maklumat lain yang akan memberikan gambaran jelas tentang aspek sosiobudaya masyarakat terdahulu.
“Penyenaraian ini adalah pengiktirafan juga kepada penyelidikan arkelogi di PPAG USM sejak 25 tahun lalu dan akan membolehkan usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan tapak-tapak berkenaan di buat dengan lebih baik,” tegas beliau.


1 comment: