Alam Sekitar


PENTINGNYA MENJAGA WARISAN ALAM
Ibu bapa berperanan mendekatkan anak-anak dengan alam sekitar.


Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin yang pernah hangat satu ketika dulu, pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia.
Bait-bait awal dalam lagu tersebut 'Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa' memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.
Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan menerima padahnya.
Buktinya, hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksik adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung oleh kita kerana kealpaan dalam menjaga alam sekitar.
Banyak pihak yakin bahawa salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak.

Melentur buluh
Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak-anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar.
Pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' memberi maksud bahawa anak-anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya untuk menjaga alam sekitar supaya mempunyai rasa bertanggungjawab yang dibawa sehinggalah mereka menjadi dewasa.
Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa terutamanya dalam kehidupan seharian di rumah.
Sebagai memberi kesedaran dan pendidikan awal tentang penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak-anak ke perpustakaan untuk membaca bahan-bahan yang berkaitan.
Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman web seperti www.kitarsemula.com, www.kid-at-art.com atau www.compostguide.com dan sebagainya yang sarat dengan maklumat, panduan dan petua penjagaan alam sekitar.
Melalui bahan-bahan pembacaan seperti ini, secara umumnya anak-anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu 'reduce'' (kurangkan), 'reuse' (gunakan semula) dan 'recycle' (kitar semula).
Anak-anak perlu diberitahu akan fakta-fakta yang bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatkan daripada ditebang jika kertas-kertas terpakai dikitar semula secara bijak.
Kitar semula
Begitu juga fakta bahawa kitar semula bahan buangan mampu menjimatkan kos pengendalian pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit oleh kerajaan.
Antara usaha-usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak-anak di rumah adalah:
 Mengasuh anak-anak menggunakan sumber alam secara berhemah terutama penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu dimatikan jika tidak digunakan lagi.
 Menggalakkan anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi buang di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya.
Wujudkan tong sampah di rumah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak-anak membuang sampah mengikut kategorinya.
 Mengajar anak-anak untuk mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitar semula yang memberikan bayaran ke atas bahan-bahan tersebut.
Anak-anak akan turut berminat menambahkan jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara yang mudah sebegini.
 Beritahu anak-anak bahawa sisa-sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi 'baja kompos' yang boleh digunakan sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur.
Dengan cara ini anak-anak akan turut dapat dididik akan konsep 'berbakti kepada tanah' dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.
 Majalah-majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan atikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensiklopedia peribadi tentang apa sahaja topik yang menjadi minat mereka.
 Ibu bapa perlu menerapkan sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian lama yang boleh dibuat kraf tangan menjadi beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubahsuai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca.
Pakaian milik anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan.
Begitu juga dengan amalan di mana pakaian dan barang-barang permainan anak-anak boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan mereka yang lain.
 Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutamanya yang berunsurkan styrofoam dan tidak mamu dilupuskansecara semulajadi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.
 Galakkan anak-anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.
Kita perlu sedar bahawa walaupun sumbangan kita dan anak-anak terhadap pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar nampak seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab yang serupa, sudah tentu ia akan menjadi begitu berkesan dan bermakna.
Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikkan oleh anak-anak kita ini pada masa hadapan dan diperturunkan kepada generasi seterusnya.





HARI TANPA BEG PLASTIK

Hari Tanpa Beg Plastik adalah satu kempen yang telah dimulakan oleh kerajaan Selangor bermula awal tahun ini dan perlaksanaannya mula dapat dilihat. Kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini mampu dijadikan sebagai tabiat harian dan bukan sahaja untuk hari Sabtu bagi penduduk di Selangor.

Kempen ini memberi impak kepada alam sekitar bukan sahaja untuk masa sekarang, malah untuk masa depan buat anak cucu kita. Kalau kita ke  Speed Mart 99 atau mana-mana, walaupun hari itu bukan hari Sabtu, satu notis di kaunter pembayaran mengenai kempen ini. Di sini  kita boleh lihat betapa kerajaan sedar dan peka terhadap permasalahan ini dan mula mengambil tindakan sewajarnya.

Hari Tanpa Beg Plastik untuk setakat ini hanyalah disertai dan disokong oleh organisasi-organisasi dan pasaraya-pasaraya besar seperti Giant, Tesco, SpeedMart, 7-Eleven dan sebagainya.

Lebih kurang 500 billion ke 1 trilion beg plastik digunakan serata dunia. Ini bermaksud lebih dari sejuta beg plastik dalam seminit. Dan berbilion-billion beg ini akan menjadi sampah.

Apakah yang membimbangkan tentang plastik? Plastik merupakan bahan yang diperbuat dan sebuah sumber yang amat berharga - minyak. Lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan.

Sewaktu beg plastik dihasilkan, satu bahan karsinogen, benzen, dihasilkan. Beg plastik tidak dapat lupus dari muka bumi. Kalau pun kita mengurangkan penggunaan beg-beg plastik dan sekarang, masih terdapat banyak lagi beg plastik yang sudah sedia terkumpul.

Beg plastik sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia membebaskan karsinogen, satu bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita. Binatang yang menyangka beg plastik makanan boleh mati apabila makan beg plastik tersebut. Selain itu beg plastik juga menyebabkan, berlaku peresapan air yang  menyebabkan banjir, dan merosakkan  kesuburan tanah.

Beg plastik tergolong “barang sekali pakai” sehingga memperbanyak sampah. Kalau kita belanja bulanan di pusat membeli-belah, sekali belanja kita akan memakai paling tidak 4 beg plastik dalam berbagai ukuran. Jakarta menghasilkan sekitar 6 000 ton sampah setiap hari, yang lebih dari setengahnya adalah sampah non-organik terutama plastik dan kertas.

Dari segi ekonomi, mengitar semula beg plastik tidak mendatangkan untung, kos mengitar semula satu tan beg plastik adalah $4000 dan hasilnya hanya boleh mendapat $32 dalam pasaran komoditi.

Untuk menghasilkan beg  plastik, setiap tahun diperlukan 12 juta barrel minyak ditambah lagi sekarang terjadi krisis minyak yang mengakibatkan melambung nya harga BBM.

Pengurangan beg plastik akan mengurangkan pergantungan terhadap minyak dari negara asing.
Jika kita menggunakan beg yang boleh digunakan semula, sebaknya 6 beg plastik dapat dijimatkan.

Jika hanya 1 daripada 5 orang di Malaysia mengamalkan tabiat ini, kita dapat mengurangkan sebanyak 110,822,400,000 beg sepanjang umur.

Beberapa buah negara telah mengharamkan penggunaan beg plastik. Contohnya negara China  telah mengharamkan pemberian beg plastik percuma. Ekoran daripada itu, negara China akan menjimatkan 37 juta tong minyak.



PEMANASAN GLOBAL KIAN SERIUS TUNTUT KEPRIHATINAN WARGA BUMI

Setiap Negara Perlu Bertanggungjawab Kurangkan Pelepasan Kadar Karbon, Kawal Kadar Pencemaran Alam Sekitar

PEMANASAN global yang semakin hangat diperkatakan di seluruh dunia dilihat mempunyai hubungan langsung dengan peningkatan gas rumah hijau utama seperti karbon dioksida dan metana. Persoalannya, mengapa gas ini memberi impak penting dalam pemanasan global?
Sebagai perumpamaan mudah, gas yang terapung di atmosfera boleh diibaratkan sebagai selimut besar kepada bumi. Ia hanya membenarkan kemasukan cahaya matahari dan sampai ke permukaan bumi, namun bertindak menghalang cahaya dibalikkan oleh permukaan bumi keluar semula ke ruang angkasa.
Pemerangkapan cahaya yang berlaku secara berterusan dalam bentuk tenaga haba menyumbang kepada peningkatan suhu bumi. Kesan pemanasan yang berlaku ini dapat dilihat dengan jelas melalui kecairan glasier utama dunia serta ais di kawasan Artik dan Antartika yang berlaku dengan kadar yang sangat pantas ketika musim panas.
Kajian dan pemerhatian yang dijalankan di Institusi Oseanografi Scripps, Mauna Loa, Hawaii, Amerika Syarikat yang bermula pada 1958 sehingga kini menunjukkan pola peningkatan karbon dioksida yang begitu ketara dan keadaan ini pastinya menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar kaji cuaca.
Bagaimanapun, sebilangan kecil saintis berpendapat pemanasan global yang berlaku hari ini bukan berpunca daripada kesan langsung peningkatan kandungan gas rumah hijau di lapisan atmosfera. Sebaliknya, lebih kepada pengaruh aktiviti solar matahari, di mana ahli astrologi mengesan pertambahan titik panas di permukaan matahari sejak beberapa dekad yang lalu.
Pertambahan titik panas ini dikatakan mempunyai corak hampir sekata dengan pola peningkatan suhu bumi berbanding pertambahan kandungan karbon dioksida. Titik panas yang dikesan ini menghasilkan radiasi tinggi yang mampu mempengaruhi suhu planet yang mengelilingi matahari termasuk bumi.

Selain itu, ada juga persepsi bahawa isu berkaitan di antara kesan gas rumah hijau dan pemanasan global sengaja dicipta untuk meningkatkan dana dan peruntukan bagi kajian bidang meteorologi dan kajian iklim. Sebagai contoh, penyediaan dana daripada Kerajaan Britain pada awal 1980-an untuk penyelidikan kesan pemanasan global yang disebabkan gas rumah hijau.
Rentetan daripada kelulusan itu, pelbagai dana dan peruntukan datang mencurah-curah untuk bidang meteorologi dan kajian iklim khususnya membabitkan kesan gas rumah hijau. Seterusnya menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini serta membuka pelbagai cabang kajian yang berkaitan.
Dari sudut lain pula, pemanasan yang berlaku dianggap satu kitaran normal bagi bumi dengan merujuk kepada kitaran interglasier yang berlangsung sejak berjuta-juta tahun dulu. Suatu masa dulu, permukaan bumi pernah mengalami keadaan yang diistilahkan ‘Free of Ice’ pada 500 juta tahun yang lalu dan juga zaman ‘Last Glacial Maximum’ pada 20,000 tahun lalu.
Jadi mengikut pandangan mereka, tidak hairanlah jika suatu masa nanti permukaan bumi akan kembali seperti 500 tahun dulu, di mana tiada lagi glasier dan ais di kedua-dua kutub bumi.

Mungkin pendapat yang diketengahkan itu ada kebenarannya. Namun, pemerhatian yang lebih teliti terhadap data meteorologi khususnya daripada program Iklim: Kajian Jangka Panjang, Pemetaan dan Jangkaan (CLIMAP) menunjukkan pola perubahan cuaca yang berlaku beberapa dekad ini lebih cepat dan pantas berbanding kitaran pemanasan sama yang pernah berlaku jutaan tahun lalu.
Keadaan ini dibuktikan dengan kadar kehilangan ais yang berlaku di kawasan Artik, iaitu sebanyak 8.5 peratus setiap dekad selepas ledakan zaman perindustrian. Pakar kaji cuaca Artik daripada Pusat Data Salji dan Ais di Boulder, Calorado, Mark Serreze menjangkakan pada 2030 tiada lagi kawasan di Artik yang dilitupi ais ketika musim panas.
Umum mengetahui ketika era perindustrian berlangsung sekitar 1960-an, pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera berlaku mendadak dan kandungannya di atmosfera bumi semakin bertambah setiap tahun, ia turut menyumbang kepada pelbagai masalah pencemaran dunia seperti peningkatan suhu, hujan asid, jerebu dan sebagainya.
Situasi ini harus membuatkan kita sedar bahawa pemanasan iklim global yang berlaku hari ini bukan lagi sekadar proses semula jadi malahan turut didorong dan dipengaruhi faktor manusia.
Sebagai warga dunia yang prihatin, kita harus bimbang dengan fenomena pemanasan global yang semakin kritikal dan sewajarnya satu tindakan secara bersama dan drastik bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau perlu dilakukan. Percayalah sumbangan dan usaha kecil kita hari ini mempunyai makna yang cukup besar untuk generasi akan datang.


PERTAHANKAN HUTAN
















KEPANASAN bumi sememangnya tidak boleh dinafikan. Air lautan akan bertambah juga tidak boleh dinafikan. Pulau-pulau kecil dan kawasan pesisiran pantai pasti tenggelam akhirnya.

Bahawa kepanasan global diakibatkan oleh bertambahnya karbon dioksida juga tidak boleh dinafikan. Bahawa peningkatan karbon dioksida adalah kerana pembakaran bahan api adalah suatu fakta. Begitu juga dengan pembakaran hutan. Kilang-kilang di seluruh dunia juiga menambah panas bumi. Begitu juga pembakaran dalam enjin. Baik kereta mahupun kapal terbang. Kesemuanya menambahkan karbon dioksida.

Apakah manusia sanggup menghadapi pemanasan global ini? Jika tidak ada pilihan lain, maka terpaksalah dihadapi juga. Tetapi bukan saja kenaikan suhu, tetapi perkara-perkara yang berlaku hasil daripada kesan pemanasan global. Ribut taufan dan banjir adalah antara bencana yang akan terhasil. Begitu juga dengan kekurangan air. Lebih-lebih lagi ialah kekurangan makanan akibat usaha tani yang gagal. Kesan buruknya amat besar. Tidak ada pilihan lain oleh manusia daripada mengubah dan menghadapinya.

Tetapi apa yang boleh mengurangkan kecepatan pemanasan global supaya perubahan itu tidak mendadak ialah jika karbon dioksida itu dapat diserap oleh tumbuhan. Salah satu penyebab kepada peningkatan kehadiran karbon dioksida ialah kekurangan tumbuh-tumbuhan di planet bumi.

Penyumbang terbesar kepada proses penyerapan karbon dioksida pula ialah hutan hujan tropika. Itulah hutan yang ada di Nusantara. Kawasan terbesar di Khatulistiwa bagi adanya hutan hujan tropika ialah di tengah-tengah benua Afrika Selatan iaitu Brazil, benua Afrika iaitu Congo dan di Asia Tenggara, iaitu pulau Borneo.

Kaya

Nusantara merupakan wilayah yang kaya dengan hujan hutan tropika. Selain Borneo iaitu Kalimantan, Sarawak dan Sabah, juga pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

Tetapi di mana-mana hutan hujan tropika di dunia ini, mereka menghadapi ancaman kepada kerosakan melalui pembalakan haram. Baik di Brazil, mahupun di Indonesia dan Malaysia.

Dalam keadaan kritikal adalah sepatutnya, hutan hujan tropika yang ada mesti dipertahan dan disimpan, dan tidak diusik-usik lagi. Tetapi diketahui bahawa penguatkuasaan pembalakan haram amat sukar dilaksanakan.

Laporan bahawa Cameron Highlands semakin memanas dengan hutannya dicabar menunjukkan bahawa sepatutnya kawasan-kawasan seperti itu sudah tidak patut dikembangkan lagi. Pembangunan mesti dihentikan dan hutan yang ada dipelihara.

Bagi Selangor pula, sudah sepatutnya tidak ada lagi hutan yang dimusnahkan untuk digantikan dengan kawasan pertanian atau pembangunan bandar. Sementara di Kuala Lumpur, kehijauan yang ada mesti dipertahankan khususnya di sekitar Bukit Tunku. Justeru memusnahkan kawasan hijau di sekitar Tugu Negara untuk dibangunkan Pusara Negara akan mengurangkan kawasan hutan dalam Kuala Lumpur.

Jadi jika hutan-hutan hendak dipertahankan, di manakah tempat untuk dibuat pembangunan? Bandar-bandar baru serta ladang-ladang perlu dibuka untuk menampung penduduk yang semakin bertambah.

Salah satu caranya ialah pembangunan semula kawasan-kawasan yang kurang digunakan secara optimum. Bandar-bandar lama wajar dibangun semula supaya boleh meningkatkan ruang bagi penempatan penduduk-penduduk baru.

Tetapi mampukah kita bertindak bijak?


AMALAN LESTARI DI RUMAH
1. Gunakan kain untuk mengelap meja dapur dan tempat bekerja. Elakan dari menggunakan tisu kerana ianya tidak boleh digunakan semula serta menyumbang kepada penambahan sisa buangan domestik.
2. Guna semula bekas kaca dan plastik sebagai tempat menyimpan barang. Ini akan menggelakan pengguna dari perlu membeli bekas baru untuk menyimpan barangan serta dapat membantu untuk berjimat.
 3. Guna semula beg plastik membeli belah   sewaktu keluar untuk membeli barangan. Cara ini dapat mengurangkan penggunaan beg plastik kerana ianya sukar untuk dilupuskan. 
4. Gunakan kuali memasak yang sesuai saiznya dan tutup periuk semasa memasak bagi menjimatkan tenaga. Penggunaan periuk tekanan dan pengukus adalah lebih baik dan menjimatkan tenaga sehingga 70% serta makanan yang dimasak juga adalah sihat.
5. Kumpulkan kertas / surat khabar yang tidak digunakan dan hantar ke pusat kitar semula.
6. Jadikan bahan buangan organik sebagai baja kompos yang tinggi nutriennya. Hentikan penggunaan racun makhluk perosak. Tanam tanaman seperti pudina yang berfungsi sebagai penghindar serangan serangga perosak.
7. Membasuh kereta dengan menggunakan paip semburan amat membazir. Gunakan air yang diisikan ke dalam baldi untuk mencuci kereta
8. Gunakan mesin basuh pakaian apabila muatanya penuh. Air bilasan cucian boleh dikumpulkan semula dan gunakan untuk mencuci tandas serta longkang sekitar kawasan rumah.
9. Gunakan mesin basuh pakaian yang jimat tenaga.  Sebelum membeli mesin basuh pakaian, baca lebel kecekapan penjimatan tenaga mesin tersebut. Dengan memilih mesin basuh yang tinggi penjimatan tenaganya, pengunaan air dan elektrik dapat dikurangkan sehingga 50% .
10. Kawal kadar aliran air apabila menggunakan paip. Aliran air yang rendah boleh mengurangkan antara 25% sehingga 50% pengunaan air. 
11. Gunakan pancuran untuk mandi dan elakan mandi dengan menggunakan air takungan. Mandi menggunakan pancuran dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak 4 kali ganda.
12. Pasangkan sistem dua curahan pada tandas. Jika dibandingkan dengan sistem satu curahan, sistem dua curahan dapat mengurangkan penggunaan air sesebuah keluarga sebanyak 50%
13. Semasa memberus gigi gunakan air yang diisi di dalam bekas dan jangan biarkan air mengalir berterusan.
14. Isikan air kedalam sinki untuk mencuci sayuran atau membasuh pinggan mangkuk. Ia akan menjimatkan 15 kali pengunaan air berbanding membasuh di bawah paip air yang mengalir berterusan.
15. Gunakan peralatan elektrik yang jimat tenaga. Padam dan buka plak elektrik selepas menggunakanya. Peralatan elektrik seperti television yang digunakan selama 3 jam sehari dan selebihnya dibiarkan dalam keadaan ?standby mode? selama 21 jam akan mengunakan sehingga 40% tenaga dalam keadaan ?standby mode?.
16. Jimatkan tenaga dan lindungi penglihatan daripada rosak dengan mengurangkan kadar keamatan cahaya skrin televisyen. Apabila kadar keamatan cahaya skrin televisyen terlalu tinggi, lebih banyak tenaga diperlukan dan jangka hayat televisyen juga akan berkurang.
17. Gantikan mentol bercahaya pijar biasa dengan mentol berpendaflour padat dapat meenjimatkan sehingga 60% tenaga berbanding mentol cahaya pijar.
18. Guankan peti sejuk sebaiknya untuk menjimatkan tenaga. Nyah beku secara berkala dan elakan membuka peti sejuk dengan kerap.
19. Gunakan pemanas air berkuasa solar untuk menjimatkan tenaga elektrik dan gas.
20. Gunakan langsir atau bidai berwarna putih untuk memantulkan haba dan mengurangkan pemanasan. Penggunaan pendingin hawa menyumbang kepada pemanasan global.
21. Jemur pakaian di bawah cahaya matahari daripada menggunakan mesin pengering. Ia dapat mengurangkan tenaga yang diperlukan oleh mesin pembasuh untuk mengeringkan pakaian dan menjimatkan sebanyak 700 paun karbon dioksida dalam tempoh 6 bulan.
22. Berbasikal atau berjalan kaki ke kedai atau kawasan berdekatan. Amalan ini 100% mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.
23. Sokong dan bantu program kitar semula. Kitar semula barang buangan sebanyak mungkin.



GAS RUMAH HIJAU DAN HUTAN PAYA GAMBUT
Kajian terbaru di Jepun mendapati peningkatan suhu yang sedang berlaku pada masa ini akan menyebabkan tanah-tanah bencah (wetland) mengering. Kesan buruk paling ketara daripada pengeringan itu dapat dilihat dengan jelas pada tanah jenis paya gambut. Pengeringan ini menyebabkan lebih banyak karbon dari paya gambut terbebas ke udara dan membentuk karbon dioksida yang seterusnya memburukkan lagi masalah pemanasan global.
Menggunakan kaedah permodelan komputer, saintis terlibat mengkaji tanah-tanah paya gambut pada latitud tinggi di lokasi-lokasi termasuk di Kanada, Rusia serta Alaska, dan mereka mendapati tanah-tanah paya itu menjadi semakin kering dengan meningkatnya suhu secara global. Hasil laporan dari Agensi Sains dan Teknologi Laut-Bumi Jepun itu diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience edisi Oktober. Memetik dari laporan itu, peningkatan suhu sebanyak empat darjah celsius sahaja sudah mampu menyebabkan kehilangan 40 peratus karbon dari paya gambut cetek malah lebih teruk lagi tanah paya yang lebih dalam boleh kehilangan karbon sehingga 86 peratus.
Tanah Gambut Mengering
Proses pengeringan tanah paya ini akan menyebabkan karbon terbebas dari tanah dan seterusnya menyebabkan jumlah karbon dioksida di udara meningkat. Menurut salah seorang pakar terlibat, Takeshi Ise, keadaan ini akan memburukkan masalah pemanasan global masa kini. Secara ringkas, apa yang berlaku adalah umpama kitaran mekanisma tindak balas positif yang mana suhu meningkat menyebabkan tanah gambut mengering dan seterusnya membebaskan karbon.
Semakin banyak karbon terbebas, makin bertambah pembentukan gas karbon dioksida dan menyebabkan tindak balas fenomena rumah hijau berlaku lebih giat dan menyebabkan suhu bumi semakin panas. Pemanasan global berlaku akibat meningkatnya gas-gas rumah hijau dalam atmosfera terutama karbon dioksida, selain metana, ozon dan wap air.
Apa yang boleh kita lakukan?
Pertama sekali, juga cara yang cukup jelas ialah kita perlu memahami dan mengatasi faktor-faktor penyebab pemanasan global yang berpunca dari fenomena gas rumah hijau. Peningkatan karbon dioksida yang kini berlaku secara melampau adalah akibat aktiviti manusia terutama yang berkaitan dengan pembakaran bahan api. Isu ini telah banyak dibincangkan.
Kedua, ialah mengenali, melindungi dan mempertahankan hutan-hutan paya gambut.  Tanah gambut adalah tanah yang terbentuk hasil pengumpulan sisa tumbuhan yang separuh reput atau sedang mengalami proses pengomposan di kawasan basah.
Jenis tanah ini merangkumi kira-kira dua peratus daripada keseluruhan permukaan tanah dunia dan termasuk di dalam kategori tanah bencah. Secara semula jadi, hutan paya gambut ialah tanah tropika yang sentiasa digenangi air, rendah mineral, dengan kedalaman di antara satu hingga 20 meter dan biasanya di dapati di lembah-lembah sungai, kawasan delta dan muara. Memandangkan tanah jenis gambut mempunyai kemampuan penyerapan air bagai kan span, hutan ini bertindak sebagai penakung dan pembekal air.
Proses penguraian yang berlaku dalam paya adalah dalam keadaan kurang oksigen atau anaerobik dan berasid. Penguraian akan berlaku dengan terlalu perlahan dan menyebabkan sisa tumbuhan melepaskan bahan kimia tannin yang berwarna kehitam-hitaman seperti warna air teh. Kadar penguraian karbon dari pereputan tumbuhan dalam tanah yang digenangi air adalah sangat rendah. Inilah sebabnya paya gambut berperanan sebagai stor penyimpan karbon yang sangat besar.
Tetapi sejauh manakah kita mengenali dan mengiktiraf kepentingan tanah-tanah semula jadi ini?
Sekurang-kurangnya 60 peratus atau 20 juta hektar tanah jenis gambut dunia terletak di Malaysia dan Indonesia. Malaysia memiliki lebih dua juta hektar tanah paya gambut khususnya di Sarawak. Bagaimanapun, hutan paya gambut di Sarawak semakin merosot dengan ketara dari 1.6 juta hektar pada 1974 menjadi kira-kira 1.2 juta hektar kini.
Meskipun persekitaran hutan paya gambut dianggap kasar memandangkan ia keadaan digenangi air, berasid dan kurang mineral, hutan paya gambut mempunyai biodiversiti yang amat tinggi dan unik. Ini termasuk habitat penting pelbagai flora dan fauna termasuk pokok-pokok balak popular tetapi kian terancam seperti ramin (Gonystylus sp.), alan atau meranti merah (Shorea albida), bintangor (Calophyllum ferrugineum), meranti bakau (Shorea uliginosa) dan jelutong (Dyera costulata).Memetik laporan John Howes dalam The Encyclopedia of Malaysia, masalah eksploitasi hutan hutan paya gambut khususnya balak alan di Sarawak berlaku dengan kadar yang terlalu pantas dan memerlukan tindakan pemuliharaan segera bagi mengekalkan kewujudannya.
Eksploitasi jejas keseimbangan
Di Sarawak, hutan paya gambut adalah jenis hutan yang paling awal dibalak dan pembalakan secara mekanikal sebenarnya telah bermula sejak 1947. Malah, kata Howes, hampir semua kawasan hutan jenis paya gambut di Sarawak telah dilesenkan untuk tujuan pembalakan sejak 1979. Perkembangan terkini nasib hutan paya gambut sebenarnya lebih membimbangkan.
Tebus guna pertanian
Selain masalah pembalakan, hutan paya gambut juga terpaksa berdepan dengan isu ditebusguna khususnya untuk tanah pertanian. Kini, semakin banyak hutan di Sarawak telah ditukar menjadi ladang-ladang kelapa sawit. Sebagai hutan yang sering dianggap tanah yang sia-sia apatah lagi terletak di kawasan tanah pamah, hutan paya gambut pastinya menjadi pilihan utama.
Apa yang pasti, perkembangan ini amat membimbangkan kerana ia telah dan sedang mengancam bukan setakat kolam biodiversiti negara malah menjejaskan keseimbangan kitaran air, udara, suhu dan cuaca dunia. Dalam satu seminar baru-baru ini, pakar penyelidik Projek Hutan Paya Gambut Pahang Tenggara, Dr. Khali Aziz Hamzah dari Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menjawab persoalan penulis mengenai isu kebakaran hutan paya gambut.
Jelas beliau, hutan paya gambut akan cenderung untuk menjadi kering akibat peresapan air dari tanah tersebut ke kawasan tanah yang ditebus guna untuk tujuan lain terutama yang dijadikan tanah pertanian. Eksploitasi tanah itu, akan menjejaskan sifat semulajadi tanah gambut yang sepatutnya sentiasa bergenang dalam air. Ini menjadikan tumbuhan separa reput yang merupakan ciri utama tanah gambut, tidak lagi berada dalam keadaan basah sebaliknya ia menjadi sisa organik yang berisiko tinggi untuk terbakar kerana berada dalam keadaan kering. Keadaan ini bakal mengundang lebih banyak masalah. Malah tanah gambut adalah merupakan kawasan hutan yang cukup mudah terbakar secara besar-besaran.
Jadi berbalik semula kepada soalan apakah tindakan kita? Bagaimana kita dapat menangani isu-isu sebegini?
Kesedaran umum dan pelbagai kempen penghijauan memang penting, pendidikan alam semulajadi di sekolah dan peringkat tertier juga penting, begitu juga pelbagai penyelidikan oleh pakar akademik. Tetapi hanya kesedaran dan anjakan paradigma melibatkan pihak-pihak tertentu di peringkat atasan yang dinamakan pemimpin, pembuat polisi, pelobi-pelobi projek dan sebagainya yang dapat menghasilkan perubahan secara signifikan.

Awas! Pembakaran Terbuka
Pembakaran terbuka adalah salah satu penyebab utama kepada berlakunya pencemaran udara di negara ini. Pembakaran terbuka kebanyakannya dikesan berlaku di kawasan tapak pelupusan sampah, sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan, sisa perladangan, sisa kebun serta pembakaran di hutan simpan. Keadaan pencemaran menjadi lebih serius pada musim panas yang berpanjangan kerana ia turut menyumbang kepada masalah jerebu yang menjejaskan kesihatan awam dan mengurangkan jarak penglihatan.
Masalah jerebu yang melanda negara pada 1997 menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi `asap'. Keadaan jerebu yang berlaku ketika itu amatlah membimbangkan sehingga menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) meningkat sehingga ke paras yang sangat bahaya.
IPU adalah satu sistem ukuran yang dibangunkan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai tahap kualiti udara dan impaknya terhadap kesihatan dengan cara yang termudah. IPU mengukur kepekatan bahan pencemar yang terampai dan dalam suatu nombor pada skala antara 0 hingga 500. Justeru, bagi mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka, sejak 1998 Jabatan Alam Sekitar (JAS) melancarkan Operasi Mencegah Kebakaran Terbuka (Ops Bakar) di seluruh negara. Operasi berkenaan adalah program bersepadu membabitkan aspek pengesanan, penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan, memadam, aktiviti kesedaran serta pendidikan.
Selain itu, langkah penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dengan membabitkan pelbagai agensi kerajaan memantau masalah itu juga perlu. Larangan pembakaran terbuka tidak boleh dilaksanakan hanya dengan arahan. Ia sepatutnya disertai dengan penguatkuasaan undang-undang. Pembakaran terbuka akan terus berlaku selagi belum ada bukti setiap mereka yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman setimpal. Jika kes pembakaran terbuka dilakukan oleh individu atau syarikat, mereka perlu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sememangnya hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah adalah berat iaitu denda maksimum RM500 000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta kompaun maksimum RM2 000. Di peringkat Asean, Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahaya Kebakaran Hutan dan Tanah 2002 pada Jun lalu mencapai kata sepakat mengadakan kerjasama melalui perjanjian bagi menangani masalah pembakaran hutan dan tanah yang pernah menyebabkan jerebu paling teruk di rantau Asean. Komitmen daripada negara-negara anggota dilihat sebagai usaha positif ke arah menangani dan memerangi masalah kebakaran terbuka dan jerebu. Perjanjian berkenaan ditandatangani menteri yang bertanggungjawab mengenai alam sekitar, menggariskan komitmen negara-negara anggota menangani masalah berkaitan pada peringkat kebangsaan dan serantau.
Perjanjian ini antara lain mengkehendaki negara-negara anggota bekerjasama mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem amaran awal, bertukar-tukar maklumat dan teknologi serta menyediakan bantuan bersama. Perjanjian itu lebih kepada usaha sama negara-negara anggota dan bukan bertujuan menghukum negara anggota yang melanggar perjanjian berkenaan. Malah ia lebih tertumpu kepada bentuk kerjasama yang jelas menyatakan negara anggota perlu memberi bantuan kepada rakan lain.
Perjanjian itu adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Jerebu Serantau yang diterima pakai oleh Asean selepas masalah jerebu yang teruk pada 1997 dan 1998 sehingga menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM34.2 bilion (AS$9 bilion) termasuk menjejaskan pengeluaran pertanian dan sektor pelancongan. Kesungguhan negara dalam menangani masalah kebakaran hutan dan tanah serta jerebu terbukti dengan pelbagai usaha pada peringkat kebangsaan melalui mekanisme mencegah punca kebakaran dan jerebu melalui rondaan udara dengan bantuan setelit. Tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang masih degil melakukan pembakaran terbuka diambil tanpa kompromi dengan bantuan agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bahagian Keselamatan Negara, Rela, Kementerian Kesihatan dan polis.


TIP UNTUK MEMELIHARA ALAM SEKITAR

·         Bawa beg sendiri untuk membeli belah.
·         Berbasikal atau berjalan kaki untuk perjalanan yang dekat.
·         Tutup peralatan elektrik jika tidak digunakan.
·         Amalkan 3R (mengurangkan, menggguna semula dan mengitar semula). Kita dapat menjimatkan banyak sumber alam daripada dimusnahkan.
·         Praktiskan dan sokong pekebunan secara organik.
·         Gunakan tenaga dan bahan api secara efisyen, jangan bazirkan sumber ini.
·         Jalankan projek-projek atau aktiviti bertemakan alam sekitar di rumah, tempat kerja dan juga kawasan kediaman.
·         Dinginkan rumah anda secara bijak dengan menanam pokok di sekitar rumah.
·         Beli barangan tempatan. Selain kita dapat menjimatkan wang, ia turut menyokong ekonomi tempatan serta mengurangkan pembebasan karbon disebabkan penggangkutan barangan jarak jauh.
·         Kurangkan atau hentikan menggunakan barangan pakai buang. Ia hanya menghasilkan sisa pepejal.
·         Gunakan air secara bijak kerana ia juga merupakan sumber yang semakin berkurangan.
·         Belilah barangan mesra alam yang di iktiraf. Produk-produk ini dapat mengurangkan kesan kepada alam sekitar. 
















1 comment: