Agama


TARIKH PENTING SEJARAH ISLAM

 ZAMAN RASULULLAH SAW
20.4.570M
12 R/awwal 
Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Makkah
575M
Raja Khosran I dari bangsa Sassanid menghalau Habshah dari Yaman
586M
Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Sayyidatina Khadijah
6.8.610M
17 Ramadan
Turunnya wahyu pertama di Jabal Nur - Iqrak
Peristiwa Khadijah membawa Nabi berjumpa dengan seorang tua lalu mengesahkan bahawa beliau akan dihalau oleh kaumnya. Beliau meneruskan pertapaan di gua Hiraq.
613M
Selama 2 1/2 tahun selepas menerima wahyu pertama Nabi terus bertahannut di Gua Hirak sehingga di satu malam baginda melihat wajah asli Jibril di gua Hirak dan pulang ketakutan lalu menyuruh Khadijah menyelimutkannya lalu turunya wahyu kedua “Ya ayyuhal muddatsir” - nabi mula berdakwah secara sembunyi.
614M
Parsi menakluki Damascus, Jerusalem dan Mesir - Mengalahkan Rom. Majusi mengalahkan ahlil kitab.
616M
Setelah 3 tahun berdakwah secara sembunyi turunlah ayat 94 Surah Al Hijr (15) …Fasda’ maatu’mar…..maka Nabi pun memulakan fasa kedua dakwah secara terang dengan berdiri di Bukit safa dan menyeru penduduk Makkah supaya beriman lalu dikutuk oleh Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Lalu turun ayat Tabbat Yadaa …
618M
Rom mengalahkan Parsi seperti diramalkan oleh Al Quran - Surah Ar Ruum
620M
Meninggalnya Khadijah pada usia 65 tahun dan Abu Talib pada usia 87 tahun dalam tahun yang sama iaitu tahun ke 10 dari kenabian , baginda pergi ke Taif dan dilontar dengan batu oleh penduduk Taif dan akhirnya baginda di Israk dan Mikrajkan oleh Allah SWT
621M
Perjanjian Aqabah I - 5 orang penduduk Madinah berbaiah dengan Nabi di Jamrah Aqabah sewaktu musim haji tahun itu.
622M
Perjanjian Aqabah II - 12 orang ketua-ketua suku Madinah termasuk seorang wanita berbaiah dengan Nabi di Jamrah Aqabah sewaktu musim haji tahun itu.
Peristiwa ini juga dipanggil Baiatun Nisak kerana terdapat seorang wanita dalam kumpulan itu. 

 10.9.622M
Peristiwa permesyuaratan ketua-ketua kaum di Makkah dengan disertai oleh seorang iblis yang menyamar sebagai orang tua untuk membunuh nabi lalu turun ayat 30 surah al taubah/al anfaal wamakaru wamakarallah…
12.9.622M
1 R/awwal 1H
Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah - Permulaan Rasmi Era Kaum Muslimin
8 R/Awwal 1H
Nabi tiba di Qubak selatan Madinah dan mendirikan Masjid yang pertama dalam Islam. Baginda bersolat Subuh di Masjid Qubak.
24.9.622M
12 R/Awwal 1H
Nabi Nabi bersama Abu Bakar dan Ali mendirikan Masjid Jumaat dan mendirikan Sembahyang Jumaat yang pertama dalam Islam. Seterusnya baginda berjalan ke utara sehingga sampai ke tapak Masjid nabi sekarang.
623M 2H
Setelah 16-17 bulan nabi bersembahyang menghadap Baitul Maqdis turun wahyu membenarkan baginda menghadap kiblat ke Masjidil Haram. Ini disebabkan orang-orang yahudi sering mengejek-ngejek Rasulullah SAW kerana bersembahyang menghadap Baitul
Maqdis. Peristiwa ini berlaku ketika nabi bersembahyang Zohor di Masjid Qiblatain.
624M 2H
Yaumul Furqaan - Peperangan Badar - nabi vs musyrik Makkah. Nabi menyertai 27 kali peperangan sepanjang hayatnya. Kaum Muslimin mencapai kemenangan
625M 3H
Peperangan Uhud - Nabi dengan musyrik Makkah. Kaum Muslimin mengalami kekalahan kerana tidak mentaati perintah Nabi agar jangan turun dari Bukit Rumah (Bukit Pemanah)
Peristiwa rombongan Abu Sufyan dipanggil oleh Gabenor Rom di Syam bertanyakan ehwal nabi. Gabenor tersebut hampir masuk Islam tetapi kemudiannya menarik balik hasratnya kerana malu kepada masyarakatnya.
625M 3H
Peristiwa orang munafik di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai menghasut 300 orang tentera Islam supaya jangan mengikut nabi berperang di Uhud.

627M 5H
Peperangan Khandaq/ Ahzab - nabi dengan Gabungan Quraish dan Yahudi. Kaum musyrikin
bertempiaran ditiup oleh angin ribut pasir yang diturunkan oleh Allah SWT.
627M 5H
Peritiwa Yahudi bani Quraizah menikam kaum muslimin dari belakang yang mengakibatkan nabi membatalkan perjanjian damai dan membunuh 700 orang lelaki dan menghalau saki bakinya dari kota Madinah.
628M
Zulkaedah 6H
Nabi melaksanakan Umrah - Perjanjian Hudaibiyah - Perjanjian damai ini memberi kesempatan kepada Nabi untuk mengkonsolidasi kaum muslimin supaya menjadi kuat dan menumpukan kepada aspek dakwah dan tarbiyah.
630M 8H
Fathul Makkah - kegagalan kaum musyrikin berpegang kepada perjanjian Hudaibiyah telah
memungkinkan Nabi menakluki Makkah.
630M 8H
Peperangan Tabuk - Nabi dan Yahudi - Peperangan Nabi yang terakhir
630M 8H
Peperangan Muktah -Kaum Muslimin dan Rom - Pimpinan Khalid Al Walid
632M
25 Zulkaedah 10H
Nabi melaksanakan Haji Wadak
6.632M
12 R/awwal 11 H
Wafatnya Rasulullah SAW pada usia 63 tahun dan dimakamkan di rumahnya di pinggir Masjid Nabi


TAJDID IMAN: KESEDIHAN TANPA KAWALAN PUNCA KEHANCURAN INSAN

Satu daripada lintasan hati yang boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan manusia ialah 'kesedihan'. Jika tidak dapat dikawal dan dipujuk dengan sandaran wahyu, boleh jadi kesedihan itu menjadi punca kehancuran seseorang.


Ketika dunia mengalami krisis ekonomi global, tekanan hidup bukan hanya dirasai golongan miskin bahkan hartawan juga ikut terkena kesan kejatuhan raksasa kapitalis dunia. Orang mukmin tidak kira miskin atau kaya ikut sama merasai tekanan akibat situasi politik dan ekonomi yang membahayakan keselamatan harta serta jiwa mereka.

Tetapi, hanya mereka yang benar-benar teguh imannya boleh memenangi peperangan ini. Mereka yang berpegang dengan semangat reda atas putaran takdir yang berada dalam genggaman kuasa Allah. Mereka sentiasa mengingati pesan Allah yang dititipkan melalui al-Quran supaya orang mukmin reda dan berani menghadapi suratan kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji; kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.

Yang penting ialah kebijaksanaan kita memanfaatkan kesedihan itu menjadi potensi yang boleh melonjakkan kekuatan karakter mukmin sejati. Bukannya menjadikan kesedihan itu punca segala kehancuran atau pintu masuk syaitan ke dalam hati nurani.

Jika kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginannya ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: "Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima keburukan."

Hati yang sentiasa berdampingan dengan Tuhannya tidak mahu merintih dan mempersoalkan ketentuan Kekasihnya Yang Maha Rahman. Dia berkata: "Beruntungnya aku kerana masih ramai orang yang lebih teruk keadaannya dibandingkan diri dan keluargaku, mesti ada rahsia yang disimpan Allah demi untuk kebaikan agamaku, tidak patut menyalahkan sesiapa kerana itu hanya alat bukan sebab, semua takdir pilihan Allah tiada yang buruk dan jahat, semuanya baik bagi hamba-Nya yang memahami dengan hati yang beriman."

Untuk mendapatkan hati sebening mata air firdaus yang memandang segala ujian dengan pandangan iman, selayaknya kita mempelajari bahaya kesedihan dan kesannya dalam keperibadian kita. Antara kesan negatif kesedihan ialah:


Membuat jiwa kurang reda.
Ramai yang memiliki jiwa reda kepada Allah tetapi kadang-kadang kita terlepas pandang masalah surutnya keredaan itu bersamaan dengan jatuhnya ujian ke riba. Tidak banyak, mungkin sedikit saja kalimah yang terlontar mewakili perasaan marah atau sedih. Tetapi justeru kalimah itu menurunkan tahap keredaan kita kepada Allah SWT.

Walaupun tidak hilang sama sekali, sepatutnya kita berhati-hati kerana mungkin dari celah yang sedikit itu syaitan akan mengambil peluang untuk masuk ke sudut hati dan akhirnya menguasai perasaan kita. 

Sabda Rasulullah SAW ketika memeluk putera Baginda, Ibrahim yang dijemput Allah ke sisi-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya mata ini menangis, namun kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredai Tuhan kami." ? (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Orang yang ditimpa musibah hendaklah memperhatikan setiap ayat diucapkannya dengan perhatian baik dan kawalan yang rapi. Kadang-kadang lidah tidak dapat ditundukkan. Ia menterjemahkan kesedihan hati dengan kata-kata yang tidak beradab kepada Allah seolah-olah mahu mempersoalkan kenapa Allah berbuat begitu dan begini? Padahal siapalah kita dibandingkan ilmu-Nya yang meliputi seluruh alam. Umpama si bodoh, dungu dan terencat akal yang berhujah di hadapan Yang Maha Alim.


Lupa akan nikmat-Nya.
Satu keburukan yang dilakukan seseorang, sering kali menghapus sejuta kebaikannya di mata manusia. Begitu juga seorang hamba yang dilimpahi rahmat dan anugerah tanpa putus dari saat hirupan pertama oksigen ke dalam jantungnya hingga nafas terakhir, tetapi apabila sedikit saja Allah menguji kesabarannya dia pun berpaling.

Dia tidak mahu menerima realiti yang harus dihadapi dengan berani, larut dalam kesedihan tidak berpenghujung sehingga membutakan mata hatinya untuk melihat nikmat Allah yang begitu banyak. Bolehkah kita melafazkan puji-pujian kepada Allah ketika sakit, hilang harta benda, pergi tak kembali orang istimewa, jatuh terjunam nama dan pangkat kita angkara kejahatan manusia? Bolehkah hati sentiasa bersyukur walau apapun yang terjadi dalam hidup ini?

Bukan hanya ganjaran akhirat yang diperoleh tetapi ketenangan hati juga dirasai ketika di dunia menapak jalan kesabaran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal anak seorang hamba, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya: Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya? Mereka menjawab: Benar. Allah berfirman: Apakah yang dikatakan oleh hamba-Ku? Mereka menjawab: Dia memuji-Mu dan mengucapkan istirja'. Allah berfirman: Binalah untuk hamba-Ku ini sebuah rumah di syurga dan beri nama 'Rumah Pujian'." ? (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Mengeruhkan hubungan sesama insan.
Musuh boleh menjadi punca kesedihan. Setiap manusia mempunyai musuh, tetapi mereka mesti belajar menakluk musuh dengan cara diredai Allah. Mereka dituntut untuk mahir bergaul, bersaing dan berlumba mendapat kejayaan dengan cara bersih dan murni mengikut lunas syariat.


Adakalanya kekalahan menyebabkan kita sedih dan mengguriskan dendam di hati. Al-Fudail bin Iyadh berkata kepada sahabatnya yang mengadu disakiti oleh seseorang: "Maafkanlah dia. Sahabatnya itu menjawab: Hatiku tidak mungkin memaafkan. Al-Fudail berkata: Orang yang pemaaf dapat tidur di atas katilnya dengan tenang sedang orang yang membela diri tiada hentinya berfikir untuk membela dirinya, cara apa yang akan digunakannya dan jalan apa yang harus ditempuhnya, apakah perkataan yang akan dikatakannya untuk mengalahkan hujah orang itu. Sudah tentu ia akan gelisah dan tidak dapat tidur."


Kesedihan sebegini boleh menimbulkan penyakit hati, bahkan merosak jantung, menaikkan tekanan darah dan memecah ketenangan perasaan. Akhirnya menjejaskan kesihatan zahir dan batin. Kesedihan juga boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia, pertalian orang tua dan anak menjadi tegang apabila kepala keluarga mengalami kemurungan. Suami dan isteri mesti menampilkan imej bahagia dan lupakan kesedihan ketika berada di hadapan pasangannya supaya kehidupan rumah tangga mereka terpelihara daripada anasir jahat.

Suami isteri yang berpengalaman dalam menjaga komunikasi biasanya cepat mengawal emosi dan menstabilkannya ketika berada bersama pasangannya.  Ingatlah nasihat Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ketika peristiwa hijrah: "Janganlah kamu bersedih kerana Allah bersama kita." Makna daripada ungkapan Rasulullah SAW yang diabadikan dalam al-Quran ini seolah-olah memberi pengajaran kepada kita bahawa orang yang terjejas akibat kesedihan sebenarnya mereka ini jauh dari Allah.


NERAKA UNTUK 7 ANGGOTA

ALLAH menyediakan tujuh pintu neraka jahanam. Menurut ulama, tujuh pintu neraka itu disediakan untuk salah satu daripada anggota tubuh kita iaitu mata, telinga, lidah, perut, tangan, kemaluan dan kaki.

Mata adalah pemberian Allah yang amat besar dan tidak terkira nilainya. Dengan mata, kita dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah supaya kita lebih bertakwa.

Mata yang dianugerahkan bukan untuk melihat wanita yang bukan mahram, wanita seksi, memandang keaiban sesama masyarakat atau menghina saudara Muslim yang serba kekurangan.

Telinga hendaklah dipelihara daripada mendengar umpat keji, percakapan kotor atau perkara bidaah. Gunakan telinga untuk mendengar bacaan ayat suci al-Quran dan kalimah Allah atau untuk menuntut ilmu agama.

Lidah hendaklah digunakan untuk berzikir, memuji kebesaran Allah serta menyampaikan kebenaran kepada sesama manusia dan menyeru ke jalan Allah.

Lidah juga perlu digunakan bagi menyampaikan ilmu agama dan bukan untuk memfitnah sesama sendiri.

Jika kita tidak menjaga lidah secara lisan, ini amat buruk risikonya kerana boleh menyebabkan berlaku perkara tidak diingini. Akibatnya, boleh menjerumus ke neraka.

Dusta adalah ibu segala dosa dan perbuatan itu boleh mendatangkan pertengkaran dan menjejaskan kewibawaan dan kepercayaan masyarakat kepada kita.

Perut. Memelihara perut amat penting. Kita perlu mengelak daripada mengisi dengan makanan haram.
Perut juga jangan diisi berlebihan kerana perbuatan itu boleh mendatangkan kemudaratan seperti membekukan hati, melemahkan badan dan membuatkan kita malas untuk beribadat.

Justeru, Islam menggalakkan kita bersikap sederhana apabila menghadapi makanan dan mengisi perut dengan rezeki yang halal.

Kemaluan. Ia perlu dipelihara daripada perkara yang haram. Tutup aurat dan jauhkan daripada menonton filem lucah yang menaikkan nafsu syahwat. Bahaya menanti kita jika gagal mengawal nafsu yang akhirnya membawa kepada perkara maksiat, mencabul kehormatan, rogol dan perbuatan yang dilaknat Allah.

Tangan. Anugerah Ilahi ini perlu dipelihara dan digunakan untuk perkara kebaikan seperti menolong orang, mencari rezeki halal, menentang segala kezaliman, menulis perkara yang baik umpamanya menulis ilmu pengetahuan dan panduan untuk masyarakat, bukan menulis kejahatan orang atau memfitnah sesama Muslim.

Kaki. Gunakan untuk menuju jalan yang diredai Allah, bukan untuk menjejaki tempat maksiat seperti disko, kelab malam, rumah urut dan tempat perjudian.

Gunakan untuk ke masjid bagi berjemaah, meramaikan majlis kenduri dan segala macam bentuk kebaikan. Maka, gunakan kaki untuk melangkah ke syurga.



MENGHARGAI MASA ADALAH SATU TUNTUTAN


Pengurusan Masa

Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset yang bernilai dalam hidup manusia. Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa 'masa itu emas'.






Kepentingan Masa
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman: 
 Maksudnya:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:
1) Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.
2)Melaksanakan amal salih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
3) Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.
4) Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Jangan Suka Bertangguh-tangguh
Budaya "Esok Masih Ada" hendaklah dibuang daripada diri seorang insan yang bergelar  dalam mengejar kecemerlangan diri serta kecemerlangan negara. Bertangguh dalam melaksanakan sebarang tugas adalah tidak digalakkan dan akan merugikan masa seseorang.
Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.”
Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

Memanfaatkan Masa Di Dunia
Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia.
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya di usahakannya dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.”(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Masa Tidak Akan Di Sia-siakan
Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan setiap keuntungan berlalu sia-sia
dan tidak pula berhajat mengundang apa - apa kerugian. Mana-mana ruang kesempatan
yang baik, sudah pasti direbutinya. Mereka akan sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah S.A.W sepertimana maksud hadisnya: " Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu:
i) Masa hidup sebelum mati
ii) Masa sihat sebelum sakit
iii) Masa lapang sebelum sibuk

iv) Masa muda sebelum tua
v) Masa kaya sebelum fakir."
Pernah Rasulullah S.A.W ditanya: "Manakah suatu manusia yang baik, Maka jawab baginda:
Siapa yang umurnya panjang, serta baik amalnya."

Kesimpulan
Menghargai  masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.
Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.


MEMBENTUK ANAK PINTAR DAN TINGGI AKHLAKNYA.


Anak Soleh sentiasa mendoakan ibu bapanya
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah  S.W.T yang cukup berharga kepada Ibu bapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan  sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.
Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w :
 “  Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.
Membaca ayat-ayat Al-Quran
“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati tenang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan dan menjadi amalan seharian.
Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka terutama fardhu ain dan fardhu kifayah.
Proses mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap  ibu bapa. Dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Amalan- amalan semasa mengandung dan setelah melahirkan:
• Sewaktu mengandung, kedua-dua ibu bapa mestilah sentiasa mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.
• Sewaktu bayi masih dalam kandungan ibu bapa hendaklah meningkatkan amal ibadah khususnya berpuasa sunat, membaca al-Quran terutama surah-surah Yusuf, Maryam, Toha, Luqman dan surah-surah pilihan yang lain.
• Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah al-Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
• Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
• Setelah anak dilahirkan, bersegeralah diazankan serta iqamat tanpa bertangguh sebelum bayi itu mendengar perkataan-perkataan lain.
• Bukakanlah mulut bayi dengan air zam-zam yang sangat berkat itu.
• Biarkan anak itu dipangku oleh orang-orang soleh dan terus didoakan. Itulah sebabnya ibu bapa mesti terlebih dahulu menjadi soleh sebelum mendapat anak yang soleh.
• Hendaklah diperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran sebanyak mungkin semasa bayi itu masih lagi baru dilahirkan. Cubalah ajar bayi itu menyebut “Haq” (salah satu nama Allah ialah al-Haq). Ramai yang mencuba, mendapati bayi yang tidak mengerti apa-apa itu dapat menyebut kalimah “Haq”. Sungguh ajaib (hendaklah dilakukan oleh orang yang soleh).
• Ibu yang menyusu anak itu hendaklah mengelakkan makanan dari sumber yang haram dan syubahat.
• Anak-anak hendaklah membesar dalam suasana yang diwarnai Islam, serta jangan membiarkan anak-anak berkawan dengan rakan-rakan yang tidak baik akhlaknya

Rahsia pemakanan ilmuwan Islam
1. Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘Shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan bekerja  seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.
2. Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.
3. Susu segar - Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.
4. Telur - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya kerana ia berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.
5. Halia - Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa dimakan sedikit saja pada waktu pagi.
6. Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”
Kesimpulan :
Anak yang pintar dan yang soleh mudah dibentuk dengan sering mengamalkan membaca ayat-ayat al-Quran bermula sejak dari dalam kandungan ibu. Pemakanan yang berkhasiat juga dapat mencerna dan membentuk kesihatan yang baik untuk bayi dalam kandungan. Maka akan lahirlah bayi yang cerdas mindanya, baik tingkah lakunya dan dapat membentuk anak yang soleh dan tinggi nilai akhlaknya.


ISTIQAMAH
Istiqamah dalam menghambakan diri


Fikiran Terganggu

Ada kalanya  fikiran kita rasa berserabut, perasaan kita rasa tidak menentu. Apa yang kita buat rasa tidak kena. Solat dan ibadah tidak dapat dirasa kemanisannya. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu kita dapatkan untuk menenangkan fikiran dan hati kita yang berkecamuk.

Gejala sosial

Lihat sahajalah apa yang berlaku di sekeliling kita, pembunuhan di sana-sini. Pelacuran yang berleluasa. Anak-anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa, remaja-remaja yang terjebak dan hanyut dalam gejala sosial, pembuangan bayi yang tidak berdosa menjadi-jadi. Kehormatan umat Islam dipersendakan dan bermacam-macam lagi. Semuanya menyayat hati dan perasaan kita. Itu tidak termasuk tekanan kerja dan pengajian yang terpaksa kita harungi setiap hari.

Jalan meraih ketenangan

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna. Ia kaya dengan pelbagai perbendaharaan dan khazanahnya yang indah dan seni. Oleh kerana itu, kita melihat agama Islam itu sentiasa dicemburui dan cuba dinodai kesucian dan ketinggiannya oleh musuh-musuh Islam. Cuma, kita yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segala keistimewaan Islam kerana kita sendiri tidak cukup mengenal agama yang kita warisi.


Menjadikan al-Quran sebagai wirid/ Bertafakur

Islam menyarankan beberapa perkara yang baik untuk kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi sebegini. Antaranya, kita digalakkan membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai wirid. Hendaklah kita bertafakur tentang kandungan ayat-ayatnya dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang akan melapangkan dada. Menambahkan lagi keyakinan dalam beragama dan menghadirkan kebesaran pemiliknya iaitu Allah SWT. Di samping itu, janganlah kita mengabaikan adab-adabnya.

Ulama berkata: "Sekiranya kamu melayarkan kapal di dalam lautan ini, kamu akan memperolehi kejayaan dan kerehatan (ketenangan) dalam pelayaran tersebut. Akan datang kepadamu angin kegembiraan dari wangiannya yang suci, dan bauannya yang semerbak bernilai dan mengadap kepadamu kelembutan inayah dengan kesempurnaan pilihan yang disertai dengan ri'ayah pembelaan Allah. Kamu akan ketahui perkara yang belum pernah kamu ketahui dan memahami perkara yang belum pernah kamu fahami.

"Maka terhasillah bagimu segala cita-cita dan tercapailah segala keinginan dan kegembiraan. Maka selepas itu berusahalah mengulang-ulang membacanya dan tenggelam di dalam lautan rahsianya. Berwaspadalah daripada meringan-ringankannya dan tergopoh-gapah ketika membacanya."

Menyelami kitab-kitab ahli hikmah
Para ulama juga menyarankan kita menjadikan bacaan kitab-kitab tasauf sebagai wirid. Hendaklah kita perkemaskan renangan kita di dalamnya. Jadikan ia sebagai sahabat dan teman bermesra pada waktu pagi dan petang, dan pegangan dalam semua keadaan.Taklifkan diri kita beramal dengan isi kandungannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya. Insya-Allah, hati kita akan menjadi lembut dan berasa lebih tenang menghadapi apa jua keadaan.

Justeru, pada minggu ini kita tinggalkan dahulu tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan dan kami ingin membawa saudara merenung satu lagi kalam hikmah yang dipersembahkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al-Sakandari r.a tentang istiqamah dalam perhambaan.

Istiqamah dalam perhambaan

Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Namun kita tidak sepatutnya dikalahkan oleh kesalahan yang kita lakukan hingga bersikap pesimis dan berprasangka buruk dengan Tuhan. Kita seharusnya ingat bahawa setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya. Sheikh Ibnu Atoillah r.a membongkar satu lagi hikmah Allah dalam kalam hikmahnya yang indah yang berbunyi: "Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu, kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu".

Kita tidak seharusnya merasa putus asa daripada beristiqamah bersama Allah apabila terlanjur melakukan dosa. Dengan bersikap sedemikian, hanya akan menjadikan dosa kita lebih besar. Istiqamah bermaksud sama keadaan dalam ubudiah terhadap Tuhan. Dosa tidak menyekat seseorang hamba itu daripada terus istiqamah dalam perhambaannya kerana seseorang hamba itu tidak dapat lari daripada takdir yang telah ditulis baginya.

Cuma, perkara yang menghalang seseorang daripada istiqamah ialah jika dia berterusan melakukan dosa tersebut. Malah bertekad untuk mengulanginya. Menginsafi hakikat ini, maka wajiblah hamba tersebut segera bertaubat kerana berkemungkinan ia adalah dosa terakhir yang ditakdirkan baginya. Kadang kala kesalahan itu juga merupakan suatu rahmat dan peringatan buat kita yang sedang lalai atau leka. Apabila kita terjatuh, maka kita akan lebih berusaha untuk bangun dan maju ke hadapan. Setelah itu, kita dapati ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Perhatikan, telah berapa banyak perkara sebegini terjadi kepada orang yang pernah melakukan dosa besar. Sebelumnya mereka adalah seorang pencuri, tetapi kemudian menjadi orang yang mulia. Di antara mereka ialah tokoh sufi yang terkenal, Ibrahim ibnu Adham. Beliau bertaubat setelah mendengar suatu bisikan ketika sedang berburu. Setelah itu beliau sering berdoa dengan doanya: "Ya Allah! Pindahkanlah aku daripada kehinaan maksiat kepada kemuliaan ketaatan."

Begitu juga Fudhail ibnu 'Iyadh r.a yang asalnya seorang penyamun. Sebelum bertaubat, dia begitu berminat dengan seorang jariah. Pada suatu hari, ketika memanjat dinding rumah jariah itu, dia mendengar suara orang yang sedang mengalunkan ayat 16 surah al-Hadid: Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq-derhaka.
Selepas mendengar ayat itu datang keinsafan di dalam hatinya sehingga hari ini kita mengenalinya sebagai seorang ahli sufi yang terkenal. Justeru, jadikanlah mereka sebagai model yang boleh membuka minda dan hati kita untuk bersangka baik dengan Allah.

Banyak ayat dan hadis yang mengingatkan kita tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah. Di antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Allah SWT juga berfirman : Dan tiada sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat. (al-Hijr: 56). Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah SWT juga berfirman: Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir.

Sabda Rasulullah SAW: "Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat daripada dosanya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi mereka yang sentiasa mensucikan dirinya".

Maka marilah kita, sebagai hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan kesalahan berazam tidak sekali-kali berputus asa daripada berusaha dan kekal beristiqamah pada jalan 'ubudiah walau betapa perit dirasakan melalui jalan yang satu ini.



AMALAN BERSEDEKAH
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Agama Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling tolong-menolong, bantu-membantu ke arah kebaikan kerana dengan demikian akan menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi di antara satu sama lain. Jika suasana sedemikian wujud di kalangan umat Islam maka akan terbinalah kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni. Inilah faktor kekuatan umat Islam. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 2 yang tafsirnya :
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya".

Salah satu cara untuk kita melaksanakan konsep tolong-menolong, bantu-membantu ialah dengan bersedekah. Sedekah ialah pemberian semasa hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti atas dasar semata-mata kerana mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala. Dan hukum bersedekah itu adalah sunat. Dalam masyarakat kita, perbuatan bersedekah itu juga diertikan atau disebut sebagai derma atau sumbangan.
Dalam mengerjakan amalan bersedekah, kita perlulah melakukannya dengan hati yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, bukan disebabkan sesuatu seperti kerana nama atau asal bersedekah sahaja. Supaya perbuatan bersedekah itu tidak menjadi sia-sia, agama Islam telah mengajar umatnya bahawa ketika bersedekah, maka biarlah menepati erti sedekah itu sebenarnya. Ke arah itu terdapat tiga perkara yang perlu diikuti bagi kesempurnaan amalan bersedekah itu.
Pertama :
Barang yang disedekahkan itu hendaklah baik dan elok. Adalah tidak wajar dan munasabah andainya benda yang disedekahkan itu jika disedekahkan kepada kita, kita sendiri tidak menyukainya dan tidak rela menerimanya. Biarlah yang disedekahkan itu daripada benda-benda yang disenangi oleh penerimanya. Kerana itulah Allah Subhanahu Wataala melarang bersedekah dengan benda-benda yang tidak baik. Perlu diingat bahawa bersedekah adalah merupakan ibadat dan tanda mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 267 yang tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji".
Kedua :
Sesuatu yang disedekahkan itu hendaklah daripada yang halal, bukan haram atau syubhat.
Ketiga :
Adalah sunat bagi pemberi sedekah atau derma itu bersedekah dan berderma daripada benda-benda yang disukai dan disayanginya. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 92 yang tafsirnya :
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya".
Ingatlah jika kita benar-benar mahu amalan sedekah kita menepati kehendak bersedekah, maka setentunya tiga perkara yang disebutkan tadi perlu ada pada benda-benda yang disedekahkan walaupun hanya sedikit kerana bukan sedikit atau banyak yang menjadi ukuran.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Dari Adiyie bin Hatim Radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Takutlah kamu akan api Neraka walaupun dengan separuh buah kurma".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Hadis tersebut menunjukkan bahawa amalan bersedekah itu walaupun hanya sedikit dengan separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api Neraka.
Adalah perlu diambil ingatan bahawa jika kita bersedekah, maka hendaklah disertai dengan keikhlasan, bukan dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti orang yang menerima sedekah atau derma kerana perbuatan sedemikian hukumnya adalah haram dan merosakkan amalan bersedekah itu. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 24 yang tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala amalan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir".
Sesungguhnya sedekah yang diberikan secara sembunyi adalah lebih utama dan afdal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Kerana perbuatan itulah yang dekat kepada keikhlasan dan jauh dari perasaan riak. Kerana sifat riak atau sifat menunjuk-nunjuk boleh merosakkan amalan sedekah. Tiada gunanya bersedekah jika mahu mendapat pujian orang dan mahu dikatakan seorang pemurah kerana dengan keikhlasan sahajalah ganjaran pahala akan diperolehi.
Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa amalan bersedekah tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya akan menambah harta dan menjauhkan kekurangan dan kesempitan. Mudah-mudahan segala amal perbuatan kita akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wataala, Amin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba' ayat 39 yang tafsirnya :
"Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki".









No comments:

Post a Comment